Koleksi Resipi Kek Gulung Homemade Sedap & Super Senang

Kek Gulung memang enak dan mempunyai rupa yang menarik. Malah untuk menyediakannya juga tidaklah sukar seperti yang dibayangkan. Bagi anda yang gemar membuat kek, bolehlah cuba aneka resipi kek gulung ni. Pasti puas hati.

1. KEK GULUNG SUPER LEMBUT

BAHAN-BAHAN:

  • 4 biji kuning telur
  • 1 biji telur
  • 60gm gula pasir
  • 30gm tepung gandum
  • 75gm mentega – dicairkan

BAHAN INTI:

  • Jem nanas, strawberi atau buttercream

CARA MEMASAK:

1. Panaskan ketuhar pada suhu 190-200C. Oles loyang bersaiz 20x20cm atau 22x22cm dengan marjerin kemudian alaskan dengan baking paper. Sapu lagi marjerin di keseluruhan kertas. Ketepikan.

2. Pukul telur dan gula hingga kembang. Kemudian masukkan tepung gandum. Kaup balikkan menggunakan spatula.

3. Masukkan mentega. Adun lagi hingga sebati.

4. Tuang adunan ke dalam loyang yang telah dialas. Bakar dalam ketuhar selama 15 minit ( 8 minit menggunakan api atas & 7 minit menggunakan api bawah) hingga kek masak. Masa mungkin berbeza ikut jenis dan saiz ketuhar masing-masing. Jangan terlebih masak kerana kek akan kering dan mudah patah apabila digulung. Angkat kek dan keluarkan dari loyang.

5. Biar kek sejuk barulah disapukan inti yang bersesuaian. Gulung dengan padat. Kemudian bolehlah dipotong dan dinikmati.

Kredit resipi & foto: Sukmawati_rs

2. KEK GULUNG KEJU

BAHAN-BAHAN:

  • 6 biji telur segar
  • 90gm gula kastor
  • 1 sudu makan ovalette
  • 70gm tepung gandum
  • 10gm tepung jagung
  • 10gm susu tepung
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 125gm mentega – dicairkan & disejukkan
  • Pewarna ungu secukupnya

BAHAN INTI:

  • Buttercream secukupnya
  • Keju Cheddar secukupnya

CARA MEMASAK:

1. Oles loyang bersaiz 30×30 dengan menggunakan marjerin. Letak baking paper dan oles sekali lagi menggunakan marjerin. Ketepikan.

2. Ayak tepung gandum, tepung jagung dan susu tepung. Kemudian campurkan dengan semua bahan lain kecuali mentega cair. Pukul guna kelajuan tinggi hingga kembang dan adunan menjadi kental.

3. Tambahkan mentega cair. Kaup balikkan menggunakan spatula hingga sebati.

4. Tuang adunan ke dalam loyang, ratakan permukaannya. Bakar dalam ketuhar yang sudah dipanaskan pada suhu 200C hingga masak, permukaan berkulit kecoklatan dan terasa kering bila disentuh.

5. Keluarkan kek dari loyang dan sejukkan. Sapukan buttercream dan gulung dengan sempurna. Sapukan lagi krim dan parut keju dengan secukupnya hingga rata.

6. Sedia untuk dinikmati.

Kredit: @ rickeindriani_ordinarykitchen ( sumber) & dicuba oleh @icha.irawan 

 

3. BOLU GULUNG

BAHAN- BAHAN:

  • 4 biji telur
  • 60gm gula kastor
  • 1 sudu teh ovalette
  • 48gm tepung gandum
  • 8gm susu tepung
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 80gm mentega – dicairkan
  • Sedikit pewarna biru

CARA MEMASAK:

1. Campurkan tepung gandum, tepung jagung dan susu tepung. Ayak.

2. Dalam bekas bersesuaian, campur semua bahan kecuali mentega dan pewarna dan pukul hingga kembang dan kental.

3. Tambahkan mentega cair dan kaup balikkan menggunakan spatula hingga rata.

4. Asingkan sedikit adunan asal dan campurkan pewarna biru dalam adunan adunan asal.

5. Ambil loyang bersaiz 20×20 yang telah dioles dengan marjerin dan baking paper. Tuang adunan warna putih dan bentukkan bulat. Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 170C selama 1 minit. Keluarkan.

6. Tuang adunan biru diatasnya. Ratakan dan hentak perlahan-lahan supaya tiada gelembung udara.

7. Bakar kek sekali lagi pada suhu 170C selama 15 minit.

8. Angkat dan gulung kek ( tanpa sapu buttercream). Biarkan hingga sejuk. Boleh juga simpan dalam peti sejuk selama 10 minit)

9. Setelah sejuk, buka gulungan kek dan sapukan buttercream. Gulung sekali lagi dan simpan dalam peti sejuk selama 15 minit.

10. Boleh dipoting dan sedia untuk dinikmati.

Kredit: @tintinrayner ( sumber) & dicuba oleh @aniktriwina

 

4. BASIC JAPANESE ROLL CAKE

BAHAN A ( UNTUK MEMBUAT CORAK):

  • 2 biji putih telur
  • 20gm gula
  • 20gm tepung jagung
  • 20gm tepung gandum

BAHAN B:

  • 6 biji kuning telur
  • 60gm gula
  • 65ml minyak
  • 100ml susu cair
  • 125gm tepung gandum
  • 1/2 sudu teh esen vanilla

BAHAN C:

  • 4 biji putih telur
  • 40gm gula
  • 25gm tepung jagung

INTI:

  • Jem strawberi atau apa-apa inti yang menjadi kegemaran.

CARA MEMASAK:

1. BAHAN A (Corak): Pukul putih telur hingga kembang lalu masukkan gula pasir. Pukul lagi hingga sebati.

2. Masukkan tepung jagung dan tepung gandum. Adun sebati. Tambahkan pewarna ikut corak yang anda nak hasilkan.

3. Masukkan adunan ke dalam piping bag dan lukiskan corak yang diingini diatas loyang yang telah dialas dengan baking paper bersaiz 35 x 25cm. Bakar guna api bawah menggunakan suhu 180C selama 4 minit. Angkat.

4. BAHAN B: Pukul kuning telur dan gula sampai putih dan kental lalu masukkan minyak dan susu cair sedikit demi sedikit. Pukul guna lajuan rendah dan masukkan tepung gandum. Adun rata

5. BAHAN C: Pukul putih telur hingga mengembang lalu masukkan gula sedikit demi sedikit.

6. Masukkan tepung jagung. Pukul hingga sebati.

7. Masukkan adunan bahan B ke dalam bahan C. Adun rata.

8. Tuang adunan perlahan-lahan ke dalam loyang yang mengangungi corak yang telah dibakar tadi. Ketuk loyang agar udara keluar.

9. Bakar dalam ketuhar pada suhu 180C selama 20 minit.

10. Isikan inti, gulung pelahan-lahan dan padatkan. Sedia untuk dinikmati.

Kredit: Fatmah Bahalwan

 

5. CHOCOLATE SWISS ROLLS

BAHAN A:

  • 6 biji kuning telur
  • 60gm minyak goreng
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 60ml susu cair
  • 120gm tepung gandum
  • 1 1/2 sudu makan serbuk koko

BAHAN B:

  • 1 sudu teh jus lemon atau cuka
  • 120gm gula pasir
  • 6 biji putih telur

CARA MEMASAK:

1. Satukan bahan-bahan A dan adun sebati sehingga tidak berketul.

2. Seterusnya untuk bahan B, pukul putih telur dan jus lemon hingga berbuih. Kemudian masukkan gula. Pukul hingga kembang dan kental.

3. Masukkan bahan B sedikit demi sedikit ke dalam adunan bahan A. Kaup balikkan perlahan-lahan hingga sebati.

4. Ambil loyang dan alaskan dengan baking paper. Tuang adunan dan hentakkan sedikit bagi membuang gelembung udara.

5. Bakar kek dalam ketuhar pada suhu 120C selama 20 minit. Kemudian naikkan suhu 150C dan bakar selama 8 minit. Masa mungkin berubah bergantung pada saiz dan jenis ketuhar. Pastikan juga sebelum dimasukkan, ketuhar telah dipanaskan terlebih dahulu.

6. Keluarkan kek dari ketuhar dan biarkan sebentar di dalam loyang sebelum dikeluarkan.

7. Bila kek telah sejuk, barulah disapu buttercream dan digulung menggunakan baking paper. Biarkan kek selama 20 minit supaya gulungannya melekat sempurna.

Kredit: michael lim (sumber) & dicuba oleh Jessica Putri

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LimauManis

 

Sumber: Rasa


Hantar Komen