Norman Mahu Anak Kongsi Perkara Bermanfaat, Bukan Hanya Foto Cantik Semata Di Media Sosial!

Anak Norman Hakim, Marissa Dania memang cantik orangnya. Walau pun baru berusia 14 tahun namun pesona gadis ini berjaya mencuri tumpuan ramai. Lebih-lebih lagi di dalam media sosial. Perhatian yang diterima Marissa secara tidak langsung menjadikan anak kedua Norman Hakim dan Abby Abadi ini tergolong dalam kalangan Instafamous.

Mengintai Instagram Marissa… penuntut sebuah sekolah tahfiz di Negeri Sembilan tersebut sudah pun mempunyai 105 ribu follower dengan hanya berkongsi 52 posting sahaja. Bagi gadis berstatus pelajar dan bukan selebriti, angka itu jelas menunjukkan populariti Marissa dalam kalangan pengguna laman sosial. Apa yang pasti, ramai yang mengagumi raut wajah ayu dan personaliti muslimah anak Norman Hakim ini sampai direct message (DM) bapanya penuh dengan mesej pujian dan lamaran.

Bertemu Norman Hakim ketika Final Pertandingan Dewi Remaja Ahad lalu, bapa ini nyata sudah mula mempersiapkan diri dengan masa depan anak-anaknya. Dia yang mengakui sedar akan populariti yang diraih Marissa enggan melihat anak gadisnya itu hanyut dek pujian. Saat ditanya reaksi Norman sekiranya Marissa melibatkan diri dalam industri seni suatu hari nanti, ini jawapannya.

“Dia sebenarnya pun dah sebahagian daripada Instafamous. Pada saya bila dia dah jadi Instafamous, ia dah sebahagian daripada industri hiburan. Jadi, kita kena bagi dia satu platform agar boleh ‘pergi’ kepada sesuatu yang baik yang boleh dia sampaikan kepada society di luar sana. Itu yang penting.

Jujurnya memang saya train anak-anak… setiap kali nak buat posting pastikan out of ten  at least dua atau tiga (posting) tu beri manfaat kepada society. Jangan setakat nak tunjuk muka cantik, badan sado, rasa macam syok sendiri. NO! Lebih baik jangan.

Kalau perasan, alhamdulillah sebagai public figure dan seorang bapa, saya kena beri contoh untuk anak-anak, untuk Mohd Danish Hakim dan juga Marissa Dania Hakim. Setiap kali posting tu mereka harus pastikan mesti ada satu atau dua yang boleh sampaikan manfaat kepada masyarakat di luar sana. Dapat pahala sikitlah dekat situ.”

Berhubung mesej nakal dan lamaran tentang Marissa yang diterimanya sebelum ini, Norman menjelaskan perkara tersebut adalah di luar jangkaan dan masih terlalu awal untuk difikirkan. “Melalui DM dan komen yang berani, pada saya kriteria (calon menantu) masih terlalu awal difikirkan. The best thing untuk Marissa sekarang ni dia fokus kepada pengajian dan menghafaz Al-Quran. Lagi separuh perjalanan lagi dan dalam masa sama agak mencabar sebab dia akan ambil SPM sekali dengan STAM nanti. Jauh lagi untuk fikir soal jodoh.

Dalam zaman sekarang ni, sebagai ibu bapa kita lebih menekankan kepada bab keagamaan dan kerohanian. Lepas tu terpulang kepada dia bidang apa yang dia nak. Sebenarnya saya pernah cakap dengan dia.. ‘Adik, papa sebenarnya tak tahulah papa ready nak lepaskan adik ke tak. Kalau papa fikir sekarang mesti papa menangis.’ Mungkin lagi lima tahun bila dia dah cecah umur 18 tahun baru saya akan fikir,” ungkapnya sambil ketawa.

Terserlah sifat penyayang dan pelindung seorang bapa dalam diri pelakon berbakat besar ini. Walaupun anak-anak makin meningkat dewasa dan matang, Norman tetap akan sentiasa berada bersama mereka ke mana sahaja. Masih segar lagi insiden Norman Hakim menangis sebak ketika menghantar anak sulungnya, Danish Hakim menyambung pengajian di Turki suatu masa dulu. Nampak berat sangat dia mahu melepaskan anak lelakinya. Tak tahulah macam mana bila Marissa Dania hendak berumah tangga nanti.

Apa-apa pun, kagum dengan didikan dan hubungan akrab mereka anak-beranak. Moga kebaikan yang mereka kongsikan dapat menjadi inspirasi kepada semua supaya lebih menghargai keluarga dan orang sekeliling.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Sumber : Instagram Norman Hakim & Marissa Dania via MediaOhsem

 


Hantar Komen