Bukan Tak Rindu ‘Husna’ Mahu Jaga Anak Dulu

Bukan tidak rindu, namun peralihan hidup sejak dikurniakan anak sulung membuatkan Datin Niena Baharun terpaksa mengetepikan seketika hasrat untuk kembali berlakon.

Pelakon yang popular menerusi watak Husna dalam drama rantaian, Jangan Benci Cintaku itu, kelahiran Adiel Mikael, tiga bulan lalu banyak mengubah hidupnya.

“Kerinduan untuk kembali ke lokasi penggambaran semakin menebal, tetapi saya terpaksa lupakan demi anak. Masa saya sangat terbatas sejak ada anak hingga menjenguk media sosial pun tidak sempat.

“Dulu, saya tidak perlu fikir panjang jika mahu ke mana-mana, sekarang tidak lagi sama kerana anak masih menyusu badan. Dia juga susah berenggang dengan saya, paling lama kami pernah berjauhan cuma empat jam.

“Biarpun ada pembantu, saya lebih selesa menguruskan sendiri anak. Bayangkan masa untuk menguruskan diri juga terbatas, apatah lagi melakukan perkara lain seperti menjenguk media sosial,” kata Niena.

Ditanya tidakkah risau popularitinya akan merosot jika terlalu lama meninggalkan dunia lakonan, pantas Niena menjawab, perkara itu bukan lagi fokus utama.

“Ketika masih dalam pantang, banyak tawaran yang datang dan saya terpaksa tolak. Secara jujur, saya tidak meletakkan tempoh tertentu untuk berehat.

“Mungkin selepas usia anak enam bulan atau setahun, baru saya fikirkan sama ada mahu kembali aktif atau sebaliknya. Saya bagaimanapun, tidak akan meninggalkan bidang lakonan.

“Soal populariti menurun, saya tidak ambil kisah. Bagi saya, ia hanya bonus kerana yang penting, hasil kerja saya diingati penonton. Siapa tahu selepas ini akan ada drama lain yang boleh melonjakkan semula nama saya?

“Dulu, saya tidak begitu dikenali, namun Alhamdulillah, watak Husna membantu melonjakkan nama saya dalam bidang ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran jenama tudung Parisfairies Scarve, baru-baru ini.

Niena dan suami, Datuk Aliff Firdaus Abdul Hadi, mendirikan rumah tangga pada 1 Februari tahun lalu di Kota Bharu, Kelantan.

Selain Jangan Benci Cintaku yang dibintangi bersama Saharul Ridzwan, Zahirah MacWilson dan Izzue Islam, Niena juga pernah muncul dalam drama Sayangku Kapten Mukhriz, Cinta Teruna Kimchi, Ops Cinta Din Sardin dan Doa Ku Mohon.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LimauManis

 

Sumber: bharian / Ig nienabaharun.nb

Hantar Komen